IKLAN

Wednesday 12 June 2013

PEMIMPIN NEGARA DITENTUKAN OLEH 146,500 AHLI UMNO

www.BlogPingSite.com
Pada akhir tahun ini pada Perhimpunan Agong Umno seramai 146,500 ahli Umno dari 166 bahagian seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti selaras dengan pindaan perlembagaan parti yang dibuat pada tahun 2009. Sebelum ini hanya 2,500 perwakilan yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menentukan pucuk kepimpinan parti,  tapi  kali ini ia diperluaskan  menjadi 146,500 yang akan membuat pemilihan bermula di peringkat cawangan terlebih dahulu (Klik).

Itulah apa yang telah diputuskan pada pindaan perlembagaan parti Umno pada 2009.  Kini di segenap penjuru telah kedengaran pula suara-suara yang mencadangkan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan. Pelik dan hairan, mereka inilah yang bersetuju pindaan perlembagaan dan kini mereka pula mencadangkan  jangan pertandingkan jawatan nombor satu dan nombor dua.  Sebenarnya mereka yang mencadangkan tersebut adalah orang-orang yang jenis pengampu tegar untuk mencari nama.  Sudah tentu alasannya adalah untuk menjaga perpaduan parti. Bagi orang nombor satu dan dua sudah tentu cadangan ini umpama kecil tapak tangan stadium disediakan.

Datuk Seri Najib sendiri dalam menjawab pertanyaan jika beliau dicabar hanya berkata parti Umno adalah sebuah parti demokratik tidak seperti parti-parti lain.  Sekiranya ahli Umno menerima cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan maka parti ini akan kekal menjadi parti untuk  pemimpin tertentu sahaja. Kalau ditanya kepada Tun Mahathir mungkin beliau juga setuju jawatan-jawatan tersebut tidak dipertandingan kerana Tun Mahathir telah banyak kali merasai nikmatnya jawatan Presiden tidak dicabar, mentelah lagi kedudukan anaknya Mukhriz sudah pun berada dalam keadaan selesa sebagai Menteri Besar Kedah.

Ahli akar umbi harus ingat inilah kali pertama diwujudkan sistem pengundian seramai 146,500 orang yang mempunyai kuasa menentukan kedudukan pucuk pemimpinan Umno dan juga pucuk pimpinan negara.  Belum pun mencuba dan baru hendak mencuba sistem ini telah ada suara-suara untuk menggagalkan apa yang telah dipersetujui semasa pindaan perlembagaan Umno di buat pada 2009 tersebut. Alasan demi menjaga perpaduan parti adalah alasan yang lapuk.  Lebih baik jangan buat apa-apa pindaan sekadar untuk menunjukkan satu transformasi parti.

Umno sepatutnya terus memilih pemimpin yang lebih baik apabila bercakap diyakini dan rakyat tidak terasa ditipu. Umno mempunyai banyak pemimpin yang baik cuma mereka tidak mendapat peluang untuk dikembangkan kepimpinan mereka.   Berilah keyakinan kepada 146,500 orang bagi menentukan pemimpin Umno masa depan sebagaimana pindaan yang telah dibuat. Inilah satu ujian bagi pemimpin-pemimpin yang ada. Sekiranya mereka berwibawa dan mereka mahu dikekalkan sebagai pemimpin negara, perwakilan tetap akan memilih mereka. Maka tidak perlulah mencadangkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

No comments:

Post a Comment