IKLAN

Tuesday, 13 March 2012

Masa Mengubah Segalanya. Mahathir, J.Mizan Dan Anita Sarawak


hostgator coupon page
Pada 1975 aku dan isteri dikurniakan Allah seorang anak lelaki.  Apakah nama yang akan ku berikan?.  Sukar sungguh untuk memilih namanya.  Aku membelek-belek akhbar Mingguan Malaysia,  pada masa itu tak dapat baca akhbar mingguan macam ada yang tak kena. Sekarang surat khabar tersebut digelar sesetengah orang surat khabar Munafik. 

Pada masa itu satu ruangan diakhbar tersebut menyiarkan profil Dr Mahathir dan keluarganya beserta gambar. Terdapatlah nama-nama anak-anaknya Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani dan Mukhriz. Ketika itu Dr Mahathir sebagai Menteri Pelajaran Malaysia.

Aku memang meminati Dr Mahathir ketika itu, beliau umpama idola aku.  Pada masa itu aku telah dapat mengagak bahawa satu hari nanti beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaysia.  Rupa-rupanya betul apa yang aku jangkakan.  Pada tahun 1976 beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan seterusnya  pada tahun 1981 beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-4 menggantikan Tun Hussein Onn yang meletak jawatan.

Aku telah memilih nama Mukhriz menjadi nama sambungan kepada nama anakku menjadi Fazly Mukhriz.  Apabila berlaku sejarah hitam politik negara tahun 1998 yang membawa kepada pemecatan Dato’ Seri Anwar dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dan beberapa perkara kekejaman dilakukan, maka orang yang menjadi idola kepada ku telah ku campak jauh-jauh dari persada mindaku.  Sehinggalah sekarang.

Masih lagi dalam tahun 1975.  Ketika itu aku tinggal menyewa di sebuah rumah di Kampong Bharu, Kuala Lumpur.  Sedang duduk berehat dihadapan rumah teres yang ku sewa, petang itu petang hari raya haji, sebuah teksi berhenti di hadapan rumahku.  Keluar seorang lelaki berbaju T melambai ke arahku.  Teperanjat aku, rupa-rupanya  sahabatku sama-sama bersekolah di Singapura dahulu pada tahun 60an.  Beliau ialah penyanyi J. Mizan (Hari Ini Dan Semalam).  Beliau sebenarnya  baru saja selesai membuat persembahan di Stadium Negara.

Dapat juga J. Mizan menginap di rumahku selama dua hari.  Beliau ada membawa beberapa irama lagu baru yang diperdengarkan  kepadaku dengan memetik gitar kepunyaanku. Dua  lagu untuk album beliau dan satu lagi lagu untuk dinyayikan oleh Anita Sarawak.  Beliau meminta aku supaya menulis lirik kesemua lagu-lagu tersebut dalam masa seminggu kerana pihak EMI Recording mahu merakam segera.  

Syukur dapat juga aku sediakan lirik ketiga-tiga lagu tersebut dalam tempoh yang diberikan.  Untuk J. Mizan lagunya Desa Permai (boleh didapati dalam Youtube) dan Siapa Namamu (tiada dalam Youtube), bagi Anita Sarawak lagunya ialah Berakhir Cintaku.  Untuk merehatkan minda ikutilah lagu Berakhir Cintaku nyayian Anita Sarawak dengan liriknya ditulis olehku.





No comments:

Post a Comment