IKLAN

Wednesday, 16 May 2012

Gerai Burger, Senaman Punggung dan Tosai Hasil Bersih 3.0

Ping Blog
Pada 10 Mei 2012    Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) yang diketuai Presidennya Mohd Ridzuan Abdullah, telah mengadakan gerai burger dengan memberi burger secara percuma di hadapan rumah Pengerusi Bersama Bersih 3.0, Datuk S Ambiga di Bukit Damansara pada jam 2 petang dan beredar kira-kira 1 jam kemudian.

Pembukaan gerai tersebut adalah sebagai tanda protes IKHLAS kepada Himpunan Bersih 3.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 28 April 2012 yang lepas dikatakan  menyebabkan kerugian kepada peniaga-peniaga. 

Sementara itu dalam satu  kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan bahawa tindakan peniaga burger itu dibenarkan selagi tidak mengganggu ketenteraman awam.

Pada 15 Mei sekumpulan bekas pesara tentera telah mengadakan satu senaman punggung  di depan kediaman pengerusi bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Bukit Damansara. Sekumpulan 15 orang daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) itu telah melakukan demonstrasi “senaman punggung” dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah kediaman Ambiga. Kumpulan berkenaan diketuai presiden PVTM, Mohd Ali Baharom yang berkata mereka berhak mengadakan demonstrasi tersebut sebagai bantahan terhadap Ambiga.

Walau bagaimanapun perbuatan ‘senaman punggung” yang dilakukan oleh PVTM tersebut telah dikritik oleh  Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (KERABAT)  dan rakan-rakan mereka dalam pasukan keselamatan. Menurut Presidennya, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar,  senaman aneh di hadapan rumah Ambiga bertentangan dengan prinsip kesopanan dan kesusilaan. 

Perbuatan PVTM tersebut mendapat kritikan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid menyifatkan ‘senaman punggung’ oleh bekas tentera di depan kediaman Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga sebagai tindakan bodoh dan gila. Tindakan itu tidak patut diterima oleh mana-mana pihak kerana ia tidak menunjukkan tata susila dan budaya Melayu yang sebenar.
 
Sementara  itu pada hari Ahad  (20 Mei) ini sekumpulan Ngo India iaitu WargaAman melalui Setiausahanya S Barathidasan  telah merancang untuk mendirikan khemah di hadapan rumah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar di Taman Bukit Teratai, Ampang untuk mempromosikan makanan sehat India iaitu  tosai yang akan diberi secara percuma. 

Menurut  S Barathidasan tindakan ini tiada kena mengena dengan protes terhadap gerai burger di rumah Ambiga tetapi kerana menghormati Datuk Seri Khalid  yang berkata bahawa “gerai boleh dibuka di hadapan rumah orang dan kami menghormati apa yang beliau kata”

Ada mata pandang, ada telinga dengar. Tunggulah samada hasrat Ngo WargaAman tercapai atau tidak untuk mempromosikan makanan tosai di depan rumah Datuk Seri Khalid.  Saya pun mahu turut sama merasai tosai percuma.



No comments:

Post a Comment