IKLAN

Sunday 5 August 2012

Royalti Minyak Kelantan Tukar Jadi Bayaran Tunai

Ping Blog
Saranan Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang supaya kerajaan pusat menyelesaikan isu royalti minyak Kelantan sebelum pilihan raya ke-13 rupa-rupanya diambil perhatian oleh Perdana Menteri 1Malaysia, Dato Seri Najib.


Najib terus mengutus surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz meminta Kelantan menghantar wakil untuk membincangkan isu ‘pemberian wang tunai’  untuk Kelantan.  Serentak dengan itu Najib juga mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas yang akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia  melibatkan negeri-negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai oleh pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan sultan negeri-negeri berkenaan.

Tugas jawatankuasa ini membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan. jawatankuasa khas itu akan membuat kajian berhubung mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Najib mengakui dan mengesahkan bahawa memang ada perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas mengenai pembayaran mengikut Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroliam 1974 yang dibuat pada 9 Mei 1975  yang menyebut Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

Najib juga menyebut menurut perundangan, Kelantan hanya berhak terhadap tuntutan bayaran tunai daripada hasil petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri tersebut iaitu kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri, walau bagaimanapun ketika ini tiada pengeluaran petroleum dilakukan dalam kawasan perairan negeri Kelantan. Oleh itu, dari segi perundangan, kerajaan negeri Kelantan tidak layak untuk menuntut bayaran tunai daripada hasil petroleum.

Sungguh cekap Najib bermain kata.  Jelas sungguh apa yang dimaksudkan oleh Najib. Beliau telah mengesahkan bahawa kerajaan Kelantan tidak berhak menuntut bayaran tunai petroleum kerana tiada aktiviti mencari minyak/gas dilakukan dalam perairan Kelantan.  Apa yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan ialah pada November 2009, yang mengumumkan di Dewan Rakyat mengenai pemberian bayaran tunai kepada Kelantan meskipun pengeluaran petroleum buat masa ini terletak di luar perairan negeri tersebut.   

Pemberian wang tunai itulah dia wang Ehsan yang diberi berdasarkan keperluan untuk terus membangunkan negeri Kelantan dan meningkatkan kesejahteraan rakyatnya. Wang tersebut disalorkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

Cekap betul Najib bermain wayang.  Apa guna meminta kerajaan Kelantan menghantar wakil untuk berbincang sedangkan telah nampak bahawa keputusan seolah-olah telah dibuat. Tuan Guru Nik Aziz sendiri merasa hairan, surat yang diterima beliau tidak langsung menyebut wang royalti sebaliknya disebut  berulang-ulang sebagai bayaran tunai.
 
Nik Aziz sendiri menggesa kerajaan persekutuan memendekkan tempoh kajian jawatankuasa khas berhubung pembayaran hasil petroleum kepada negeri itu dari enam bulan kepada tiga bulan. Kelantan berkehendak pada duit tersebut. Duit tersebut bukan duit orang lain, kerana telaga cari gali petroleum yang diusahakan Petronas sememangnya berada dalam kawasan pesisir pantai Kelantan. Menurut Nik Aziz Kelantan yang paling dekat sekali (dengan) telaga pesisir pantai itu daripada negeri lain.

Apa yang disyurkan oleh YM Tengku Razaleigh tersebut sememangnya logik. Beliaulah orang yang tahu berhubung dengan perjanjian Kelantan dengan Petronas dan hak kerajaan Kelantan mengenai royalti ini.  Sebenarnya kenyataan Tengku Razaleigh telah membimbangkan lagi Najib dan pemimpin Umno di Kelantan.  Dengan kenyataan Najib yang menyatakan bahawa Kelantan sebenarnya tidak berhak diberi ‘royalti’ keadaan ini bertambah sukar.  Nampak sangat tiada keikhlasan untuk menyelesaikan perkara ini. Bertambah-tambahlah beban Najib, tidak tahu mana hendak dicapai.  Isu Sabah amat merunsingkan.  Tunggu


1 comment:

  1. --apabila jutaan dan billion dibincangkan.. pasti ada hati terguris.. sayalah yang terguris itu.. sepenuhnya terguris.. berilah duit itu wahai manusia yang tahu hak dan batil .

    ReplyDelete