IKLAN

Monday 28 May 2012

Jangan Buat Eksperimen Pilih Kerajaan

Blog Ping Tool
Rakyat tidak boleh membuat eksperimen terhadap nasib dan masa depan negara pada pilihan raya umum akan datang kerana kesilapan membuat keputusan bakal menjerumus Malaysia ke dalam situasi tidak menentu seandainya parti dipilih belum bersedia. 


Itulah kenyataan Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim dalam satu sidang akhbar di rumahnya di Sri Damansara, Kuala Lumpur.  Sama sahaja kenyataan orang-orang yang meninggalkan parti pakatan rakyat seperti Hassan Ali buat kenyataan akhbar di rumah masing-masing untuk menghentam parti yang mula menjadi platform berpolitik.

Rakyat Malaysia yang mengubah senario politik dalam pilihan raya  ke-12 tahun 2008 bukannya bereksperimen tetapi ingin mengubah secara total pemerintahan negara, walau bagaimanapun masih belum diizinkan Allah.  

Mungkin Tunku tidak nampak atau buat-buat tak nampak negeri-negeri yang diperintah oleh pakatan rakyat, adakah telah terjerumus ke dalam situasi tidak menentu?.  Selama 55 tahun Malaysia telah diperintah oleh Barisan Nasional yang dikemudikan oleh Umno, berbagai kemungkaran telah timbul dan berlaku yang menjadikan rakyat Malaysia menjadi muak serta membuka minda mereka seluas-luasnya bagi mengubah kerajaan Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Rakyat telah nampak kejujuran pemerintahan dan pemimpin pakatan rakyat yang memerintah negeri-negeri Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang (Perak telah rampas) yang dimajukan dengan tanpa rasuah dan memberikan kebajikan kepada rakyat.

Cuba lihat apa yang dilakukan oleh Umno terhadap Lim Guan Eng dengan menggunakan budak-budak Perkasa, Pekidah dan Ngo-ngo mengganggu dan memburuk-burukkan pimpinan Lim Guan Eng hampir setiap bulan di P. Pinang. Puak BN sedar dengan  gaya dan  corak  pimpinan Lim ketika ini telah memusnahkan harapan Barisan Nasional untuk mendapatkan semula P. Pinang.  Adakah Tunku tidak mengetahui atau sedar apa yang berlaku di P. Pinang.

Orang-orang Melayu P. Pinang sudah dapat menilai inilah orang bukan Islam yang boleh memimpin dan memberi kebajikan kepada masyarakat Melayu, agama Islam dan rakyat lain di P.Pinang.  Adakah pemilihan rakyat terhadap Lim Guan Eng pada pilihan raya lepas untuk P.Pinang sebagai satu eksperimen?

Begitu jugalah di Selangor, Kedah dan mengekalkan Kelantan dalam pakatan rakyat, adakah itu juga satu eksperimen yang menyebabkan kehidupan rakyat di negeri-negeri tersebut tidak menantu.

Kenyataan seperti ini tidak pernah didengar dari Tunku Abdul Aziz semasa dalam DAP, selepas menyeberang jambatan dan sampai di seberang sana maka terdengarlah perkataan “jangan jadikan satu eksperimen dalam memilih kerajaan dalam pilihan raya yang akan datang.  Bila sampai di seberang baru kata dipaksa meletakkan jawatan dari parti DAP hanya berdasarkan kata-kata Lim Kit Siang jawatan senatornya mungkin tidak diperbaharui.  Itu jawatan senator bukannya minta letak jawatan. Sebenarnya beliau sudah tidak selesa untuk bersama DAP kerana jiwanya berkobar-kobar untuk menyokong Najib dan Umno BN.

Semasa permulaan kerajaan Perikatan memerintah Malaya adakah Tunku Abdul Rahman dan Tun Abd Razak mempunyai pengalaman memerintah?.  Begitu juga dalam soal pakatan rakyat, walau bagaimana pun mereka sekarang mempunyai pengalaman kerana telah berada dalam pemerintahan kerajaan negeri-negeri dan sebagai pembangkang dalam kerajaan sekarang. Apa masalahnya.

Ingin  juga disentuh, apakah hak Tunku Abdul Aziz beria-ia sangat meminta Pakatan Rakyat menunjukkan Kabinet Bayangan mereka. Apa perlunya.  Adakah Najib akan buat senarai Kabinet bayangan mereka untuk pilihan raya ke-13 jika Tunku memintanya berbuat demikian?. Tanyalah Najib.

Sepatutnya perletakkan jawatan daripada DAP tersebut dijadikan satu landasan terbaik untuk menyuarakan kepada jalan kebaikan dan meminta rakyat mengubah kerajaan yang rasuah kepada tidak rasuah dan membetulkan sistem pemerintahan kepada  yang amanah dan adil dan bukan menggalakkan rakyat menyokong Umno BN yang telah terbukti berpenaglaman memerintah secara tidak jujur dan rasuah.


Kita tunggu ada kenyataan akhbar Tunku Abdul Aziz dibuat di rumahnya selepas ini untuk pujian melangit pemerintahan Datuk Seri Najib. Mentelah Najib telah membuat kenyataan  di majlis Invest Malaysia 2012 bahawa pembangkang tidak akan tunai janji-janji  pilihan raya. Pilihan raya belum ada bagaimana janji nak dikota.

Allah sahaja yang mengetahui.

No comments:

Post a Comment