IKLAN

Saturday 7 April 2012

Najib Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

Ping Blog
Pada 8 April 2012 tamat tempoh perkhidmatan Dato’ Shahrizat Abdul Jalil sebagai Senator.  Serentak dengan itu secara otomatik beliau tidak lagi memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sekarang Shahrizat menjadi orang biasa dan bukan lagi sebagai wakil rakyat.  Walau bagaimanapun beliau kekal dengan jawatan parti sebagai Ketua Wanita UMNO.  Ada beberapa desakan termasuk dari Naib Ketua Wanita, Dato' Kamalia Ibrahim meminta supaya beliau melepaskan jawatan Ketua Wanita UMNO tersebut, ini  memandangkan terdapat ejekan-ejekan yang diterima menggelarkan wanita UMNO adalah wanita lembu.

Walau bagaimanapun Shahrizat bernasib baik, terdapat lima Ketua Wanita UMNO negeri yang menyokong beliau.  Ini ditambah lagi sokongan bonus Najib kepadanya supaya Wanita memberi sokongan kepada beliau.

Berikutan  kekosongan jawatan tersebut, Dato Seri Najib telah mengumumkan bahawa beliau akan mengambil alih tugas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat disamping tugas hakikinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Ada beberpa faktor dan andaian yang boleh dibuat mengapa Najib tidak melantik wakil rakyat BN yang lain bagi mengambil alih jawatan tersebut, Pertama, kemungkinan jika perlantikan dibuat bermakna menteri baru hanya memegang jawatan dalam tempoh yang singkat dan tidak dapat melaksanakan apa yang dirancang. Mandat kerajaan BN akan berakhir sehingga April 2013.

Kedua, kemungkinan Najib akan membubarkan parlimen dalam tempoh sebulan dua ini.  Jika benar  apa yang dicakap-cakap dan diramalkan selama ini kemungkinan pilihan raya diadakan pada bulan  Jun 2012 adalah tepat.

Selama ini adalah menjadi amalan Najib kebanyakan perlantikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri adalah dipilih dari kalangan senator-senator. Ini seolah-olah Najib lebih mempercayai orang luar daripada Ahli Parlimen yang dipilih rakyat.  Mereka bagaikan tidak dihargai.  Lihat  sahaja    bagaimana  Dato' Maznah Mazlan, sebagai seorang  Adun bagi Muazam Sham, Pahang telah dilantik sebagai Senator oleh Najib bagi membolehkan beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Apakah rasional perlantikan tersebut.  Adakah Barisan Nasional kekurangan pemimpin?.

Sempena Najib memegang tugas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diucapkan selamat menjalankan tugas. Jika masin mulut ahli UMNO  mungkin ketiga-tiga jawatan yang dipegang  tersebut adalah jawatan yang terakhir buat Dato’ Seri Najib.

No comments:

Post a Comment