IKLAN

Wednesday 11 April 2012

PTPTN, TOL, Gaji Minima Janji Pakatan Rakyat

Ping my blog
Tiga janji Pakatan Rakyat iaitu memansuhkan  pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan  Tinggi Nasional (PTPTN),  menghapuskan kutipan tol dan gaji minima RM1500  amat mengelisahkan kerajaan Barisan Nasional.  Berbagai cemuhan yang dilemparkan terhadap parti Pakatan Rakyat terutama Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan kenyataan Anwar adalah untuk mempolitikkannya terutama isu PTPTN bagi meraih sokongan pengundi muda menjelang  Pilihan Raya Umum Ke-13.  Tindakan pembangkang boleh menyebabkan golongan muda iaitu mahasiswa  terpedaya dan memandang serong kepada kerajaan.

Selain daripada ahli politik, isu ini juga diulas oleh Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor yang menyatakan  usaha pembangkang tersebut akan melibatkan sejumlah wang RM200 bilion setahun itu hanya akan menyebabkan negara terpaksa meningkatkan cukai dan membuat pinjaman dari negara luar.  Beliau mengigatkan pembangkang bahawa kedudukan kewangan sekarang belum stabil, maka secara logik tiga janji itu memang akan melibatkan peningkatan perbelanjaan. 

Usaha yang dibuat oleh Pakatan Rakyat tersebut  adalah selepas meneliti bahawa pinjaman PTPTN adalah satu beban yang perlu ditanggung oleh pelajar-pelajar  selepas enam bulan menamatkan pelajaran.  Samada mereka telah mendapat pekerjaan atau tidak mereka harus memulakan ansoran pinjaman mereka.  Jika tidak mereka akan disenarai hitamkan.

Bagi seorang yang masuk dalam alam pekerjaan gaji permulaan yang mereka terima  bukanlah begitu tinggi. Terpaksa  membayar kepada PTPTN  membebankan dan disamping menanggung kos-kos lain sara hidup.  Sebab itulah Pakatan Rakyat mahu memansuhkan PTPTN dan bukannya menjadikan  satu modal politik. Bukan mencari  populis sembrono sebagaimana dikatakan oleh Najib.

Memandangkan  isu ini menjadi panas, Pemuda UMNO telah  mengadakan Persidangan Meja Bulat Mahasiswa berhubung isu pinjaman PTPTN.  Mereka telah membuat resolusi  iaitu dari Aspek pinjaman, Aspek pembayaran, Aspek Tabun SSPN dan Aspek Komunikasi. Resolusi ini akan disampaikan kepada Perdana Menteri. Tiada apa yang menarik kepada  persidangan tersebut selain meminta mempertimbangkan memansuhkan bayaran perkhidmatan 1% yang sekarang dikenakan kepada peminjam.  Berbeza dengan hasrat pembangkang mahukan pinjaman PTPTN  dimansuhkan secara total.

Hasrat pembangkang merisaukan  pihak-pihak yang mengendalikan institusi pengajian swasta.  Jangan salah faham. PTPTN tetap ada disalurkan kepada pelajar tetapi bukan dalam bentuk pinjaman tetapi sebagai tanggungjawab kerajaan terhadap rakyatnya.  Institusi swasta masih berjalan seperti biasa dibayar kepada institusi berdasarkan kepada pelajar yang menuntut di kolej mereka.

Tidak payahlah mempersendakan hasrat Anwar yang menyebut ‘kalau’ Pakatan Rakyat berkuasa.  Setiap orang yang sebelum melakukan  sesuatu  sudah tentu dimulakan niat ‘kalau’.  Jika Allah memberi  laluan dan memakbulkan usaha ke arah itu maka bukan  lagi ‘kalau’.  Serupalah dengan  Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim semasa bertanding sebagai Naib Ketua Pemuda tentu memasang niat ‘kalau’ aku menang.

Perjuangan pakatan memansuhkan PTPTN bukanlah agenda poltik murahan pembangkang, atau sebagai satu bentuk hasutan untuk golongan muda khasnya mahasiswa membenci kerajaan.  Orang muda dan mahasiswa Malaysia sangat matang dalam membuat keputusan yang mana baik dan sebaliknya.  Mereka juga nampak jelas kemanakah perginya wang rakyat dibelanjakan oleh kerajaan BN selama ini.  Adakah untuk rakyat atau untuk insan- insan terpilih bernama kroni atau untuk perbelanjaan peribadi atau keluarga.

Berhubung dengan hasrat Pakatan Rakyat untuk menghapuskan kutipan tol, penulis tidak memberi sokongan seratus peratus.  Penulis faham lebuhraya dan jalan raya yang disediakan kerajaan adalah untuk keperluan rakyat bagi perhubungan dan juga untuk memasarkan produk dan hasil mereka.

Walau bagaimanapun penulis bersetuju satu penyelesaian terbaik dibuat iaitu bayaran tol yang tinggi tersebut diubah kepada bayaran setengah bayaran sebagaimana yang dibuat oleh Najib bagi tol Jalan Cheras.  Sekiranya ini dilakukan, rakyat akan dapat merasakan nikmat pembangunan sebenarnya iaitu rakyat didahulukan dan bukan rakyat dikenakan.

No comments:

Post a Comment